Saturday, July 14, 2007

Teknik Penyemaian Biji Benih

Terdapat pelbagai teknik penyemaian biji benih cili. Semua teknik penyemaian tersebut adalah betul dan boleh diguna pakai. Walau bagaimanapun, teknik yang ingin dikongsi disini adalah teknik penyemaian yang digunakan berdasarkan kepada pengalaman penyemaian.


Pemilihan biji benih.

  1. Biji benih seharusnya dipilih daripada biji yang berkualiti. Ini kerana biji benih menyumbang 75% - 80% kejayaan sesuatu projek tanaman. Biji benih yang disyorkan adalah biji benih yang dikeluarkan oleh pihak yang bertauliah.
  2. Anda sesekali tidak digalakkan membuat sendiri biji benih daripada buah cili yang dipetik dari pokok ataupun buah cili yang dibeli di pasar. Dikhuatiri buah tersebut berasal daripada pokok yang berpenyakit.

Medium Penyemaian.

  1. Medium penyemaian sangat penting bagi pertumbuhan pokok. Penggunaan peat moss sangat digalakkan untuk dijadikan medium penyemaian. Ini kerana peat moss telah disebatikan dengan baja yang menjadikannya medium yang paling ideal untuk biji benih bercambah.
  2. Jika sukar mendapatkan peat moss, penggunaan coco peat juga boleh. Tetapi, coco peat tersebut hendaklah dibasahkan dengan larutan baja AB berkepekatan 1.0 ec selama kira-kira seminggu. Kemudian, barulah boleh digunakan sebagai medium penyemaian. Tetapi kaedah ini kurang digalakkan.
Teknik Penyemaian.
  1. Rendamkan biji benih ke dalam larutan Atonik berkepekatan 1.0 selama 2 jam.
  2. Masukkan peat moss ke dalam besin plastik. Semburkan dengan air supaya lembap.
  3. Kemudian masukkan benih yang telah direndam tadi ke dalam besin plastik. Semburkan sedikit air.
  4. Tutupkan besin plastik tersebut dengan plastik hitam sepenuhnya dan letakkan di tempat yang redup.
  5. Biarkan selama 3 hari dan dalam tempoh itu semburkan sedikit air untuk mengekalkan kelembapan.
  6. Kebiasaannya, benih akan mula bercambah dalam tempoh 3 hari.
  7. Benih yang sudah bercambah dipilih dan dipindahkan ke dalam tray yang berisi peat moss. Satu lubang tray untuk satu biji benih.
  8. Pastikan medium peat moss sentiasa dalam keadaan lembap.
  9. Setelah anak pokok mengeluarkan 2 daun, ia bolehlah disembur dengan larutan air baja AB berkepekatan 0.5 ec sekali dan sembur dengan air biasa 2 kali dalam masa sehari.
  10. Pada peringkat awal anak pokok hendaklah dijemur diwaktu pagi antara jam 7.00 - 9.00 pagi setiap hari bagi tujuan pengerasan batang.
  11. Secara berperingkat, tambahkan waktu jemuran anak pokok sehingga anak pokok berumur kira-kira 25 - 30 hari. JANGAN sesekali menjemur anak pokok di bawah matahari terik kerana ia akan menyebabkan pokok layu dan mati.
  12. Setelah itu anak pokok telah bersedia untuk dipindahkan ke dalam polybag.
Belajar dari pengalaman

Mungkin ada yang akan bertanya kenapa biji benih disemai di dalam besin dahulu, kemudian baru dipindahkan ke dalam tray. Ada sebabnya.
  1. Untuk memastikan benih yang betul-betul aktif sahaja dipilih.
  2. Untuk memastikan anak pokok yang dihasilkan mempunyai ketinggian dan tumbesaran yang seragam.
  3. Mengelakkan melakukan kerja penyulaman anak benih di dalam tray.
  4. Memaksimumkan penggunaan lubang tray dengan anak pokok yang sihat. Tiada anak pokok yang terbantut.

post signature

Read more...

Ex4 to Mq4 services system Your Internet Cash Generator

Lite Forex

Fertirion

  © Cilipadi's Art Design Copyright by 2008-2009

Back to TOP